LILIN dinyalakan di Lviv, Ukraine, bagi memperingati orang awam yang terkorban susulan pencerobohan Rusia di negara itu. FOTO EPA
LILIN dinyalakan di Lviv, Ukraine, bagi memperingati orang awam yang terkorban susulan pencerobohan Rusia di negara itu. FOTO EPA
AFP

Rom: Itali, Sepanyol dan Denmark menyertai sekutu dalam Kesatuan Eropah (EU), pada Selasa, dengan mengusir diplomat Rusia.

Langkah itu dilaksanakan di tengah-tengah peningkatan kemarahan terhadap konflik Ukraine, dengan kira-kira 150 diplomat Rusia dihantar pulang dalam tempoh 48 jam.

Pengusiran membabitkan kebanyakannya didakwa mengintip selain berikutan kutukan antarabangsa terhadap pembunuhan di bandar Bucha, dekat Kyiv, di mana berpuluh-puluh mayat ditemui selepas tentera Rusia berundur.

Moscow menolak tuduhan Barat bahawa tenteranya bertanggungjawab, mencadangkan imej (di Bucha) itu palsu atau bahawa kematian berlaku selepas mereka berundur.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberitahu wartawan pada Selasa bahawa pengusiran besar-besaran diplomatnya itu adalah 'langkah yang tidak berpandangan jauh'.

"Mengecilkan peluang untuk komunikasi diplomatik dalam persekitaran krisis yang sukar adalah langkah yang kabur. Seterusnya merumitkan lagi komunikasi kita iaitu yang perlu untuk mencari penyelesaian," katanya.

Pengusiran itu berlaku ketika EU membincangkan sekatan pusingan kelima ke atas Rusia kerana pencerobohannya ke atas Ukraine pada 24 Februari, dengan negara anggota dijangka menandatangani keputusan itu, minggu ini atau seterusnya.

Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio berkata, 30 diplomat Rusia diusir atas sebab keselamatan negara dalam konteks perang yang sedang berlaku.

Beberapa jam kemudian, Menteri luar Sepanyol Jose Manuel Albares mengumumkan pengusiran kira-kira 25 diplomat Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 9:10 AM