FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Moscow: Mahkamah Rusia, pada Isnin, menyekat Facebook dan Instagram dan menyifatkan aplikasi itu sebagai ekstremis, sebahagian daripada usaha Moscow untuk membanteras media sosial semasa konflik di Ukraine.

Pihak berkuasa Rusia menuduh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp bertolak ansur dengan 'Russophobia' sejak Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Feb.

Facebook dan Twitter tidak dapat diakses di Rusia sejak awal Mac dan Instagram disekat di negara itu, seminggu lalu.

Mahkamah daerah Tverskoi Moscow bersetuju dengan permintaan daripada pihak pendakwa supaya kedua-dua platform media sosial itu diharamkan kerana 'menjalankan aktiviti ekstremis'.

Ia memutuskan bahawa perkhidmatan mesej WhatsApp tidak akan dilarang kerana ia tidak digunakan untuk menyiarkan kenyataan awam.

Tiada komen daripada Meta setakat ini.

Semasa perbicaraan Isnin, perkhidmatan keselamatan FSB Rusia menuduh Meta bekerja menentang kepentingan Moscow dan tenteranya ketika konflik.

Aktiviti organisasi Meta disasarkan terhadap Rusia dan angkatan tenteranya," kata wakil FSB Igor Kovalevsky kepada mahkamah dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita Rusia.

"Kami meminta (mahkamah) mengharamkan aktiviti Meta dan mewajibkannya melaksanakan keputusan ini dengan segera," katanya.

Pada 10 Mac, Meta mengumumkan bahawa platform itu akan membenarkan kenyataan seperti 'kematian penceroboh Rusia' tetapi bukan ancaman terhadap orang awam.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 9:53 AM