Orang ramai berlindung di stesen kereta api bawah tanah di timur Ukraine. FOTO Reuters
Orang ramai berlindung di stesen kereta api bawah tanah di timur Ukraine. FOTO Reuters
Agensi

Kyiv: Lebih 40 tentera Ukraine dan 10 orang awam dilaporkan terkorban pada hari pertama pencerobohan tentera Rusia ke atas negara jirannya itu, lapor agensi berita AFP.

Pembantu Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych berkata, beliau difahamkan lebih 40 tentera maut manakala berpuluh lagi cedera.

"Saya juga dimaklumkan kira-kira 10 orang awam maut," katanya.

Sementara itu, Reuters melaporkan jawatankuasa penyiasat Rusia berkata, tiga individu cedera selepas peluru tentera Ukraine mengenai kawasan perumahan di wilayah selatan Belgorod berhampiran sempadan negara itu.

Satu letupan kuat turut kedengaran di wilayah itu, menurut seorang wartawan Reuters.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine dengan letupan dapat didengari di ibu negara dan bahagian lain di negara jirannya itu.

Ia selepas usaha diplomasi selama beberapa minggu dan sekatan dikenakan oleh Barat gagal menghalang Putin.

Rusia sebelum ini menghimpunkan antara 150,000 dan 200,000 tentera di sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 12:29 AM