LUNA selepas menjalani pembedahan. FOTO Agensi
LUNA selepas menjalani pembedahan. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Penderitaan kanak-kanak ini yang dilahirkan dengan tanda lahir seperti topeng Batman akhirnya berakhir apabila ramai penderma tidak dikenali tampil memberikan sumbangan untuk pembedahan.

The Sun melaporkan, kanak-kanak itu berjaya menjalani pembedahan dengan kos 53,000 euro (RM251,991) untuk menghilangkan tanda lahir seperti topeng Batman hasil sumbangan derma orang ramai.

Luna Tavares-Fenner, 2, kini semakin pulih selepas tanda lahir di mukanya dibuang menggunakan kaedah perubatan yang tidak terdapat di tempat tinggalnya, Amerika Syarikat.

Dia akhirnya kehilangan tanda lahir Batman selepas dua tahun menjalani pembedahan dengan doktor di Rusia.

Luna dilahirkan dengan keadaan congenital melanocytic nevus yang menutup mukanya dengan 'topeng hitam' sejak lahir.

Ibu bapanya Caroline Fenner, 37, dan Thiago Tavares, 33, mendedahkan majoriti wang yang dikumpul untuk membayar rawatan gadis itu diberikan oleh penderma tanpa nama.

Luna yang berisiko menghidap kanser kulit mendorong ibu bapanya mendapatkan rawatan lebih awal.

Pasangan itu mengumpul 52,800 euro (RM251,000) untuk rawatan anak perempuan mereka di sebuah klinik di Krasnodar, sebuah bandar di Rusia berhampiran Ukraine.

Tetapi pembedahan itu tidak akan berjaya dilakukan tanpa bantuan daripada penderma yang baik hati dari Rusia yang memberikan sejumlah besar wang kepada keluarga itu.

'Santa Claus Rusia' tanpa nama itu menderma AS$60,000 (RM252,510) untuk membantu kanak-kanak itu menjalani pembedahan yang dipanggil ibu bapanya sebagai keajaiban.

Kanak-kanak itu akan terbang pulang untuk menyambut Krismas dan kembali pada Tahun Baru dengan penampilan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:10 AM