KEADAAN terkini Syamimi Afeeya selepas menjalani tiga pembedahan. FOTO Ihsan Shashiradz Mahmud.
KEADAAN terkini Syamimi Afeeya selepas menjalani tiga pembedahan. FOTO Ihsan Shashiradz Mahmud.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Bayi berusia 10 bulan yang menghidap sindrom Pierre Robin selamat menjalani tiga pembedahan sekali gus membolehkan dia bernafas dengan baik dan makan.

Kisah Syamimi Afeeya Shashiradz yang menderita kecacatan kelahiran jarang berlaku itu pernah disiarkan Harian Metro tahun lalu dan meraih perhatian orang ramai untuk sama-sama membantu.

Bapa Syamimi Afeeya, Shashiradz Mahmud, 34, berkata, dia bersyukur semua pembedahan dilaksana berjaya dengan pembedahan pertama adalah pemasangan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan, disusuli pembedahan membelah lelangit dan memasang alat 'Molina Osteo Distraction System'.

"Secara perlahan-lahan, tulang rahang yang sebelum ini masuk ke dalam sudah dilihat timbul dan pernafasannya juga mula pulih.

"Enam bulan akan datang, pembedahan keempat akan dibuat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah bagi mengeluarkan besi yang dipasang di tulang rahangnya.

"Juga untuk menutup lubang yang ditebuk di lehernya bagi membolehkan Syamimi bernafas seperti kanak-kanak lain," katanya ketika dihubungi.

Shashiradz berkata, sejak kisah anaknya tersiar, mereka menerima sumbangan daripada ramai orang yang prihatin, berjumlah keseluruhan RM42,000 dan dimanfaatkan untuk kos pembedahan dan rawatan Syamimi Afeeya.

Katanya, ada juga penderma menyalurkan bantuan menerusi platform Kitafund.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada penderma, semua doktor pakar yang terlibat dalam pembedahan Syamimi dan juga Harian Metro yang menyiarkan kisah mengenai bayi kami," katanya.

Syamimi Afeeya sebelum ini dilapor sukar bernafas, tidak boleh bersuara dan hanya makan dalam bentuk cecair disebabkan penyakit dihidapinya sejak lahir.

Berita berkaitan

Syamimi Afeeya sukar bernafas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:07 AM