FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Remaja berusia 19 tahun di China, yang meninggal dunia secara mengejut dipercayai selepas menderma plasma darah sebanyak 16 kali dalam tempoh lapan bulan, mencetuskan kekecohan di media sosial di negara ini.

Memetik laporan South China Morning Post, Zhao Wei, dari bandar Xinzhou, di wilayah Shanxi, utara China, meninggal dunia di rumahnya, tidak lama selepas dia pulang dari bekerja untuk membantu menyara keluarganya, pada 15 Januari lalu.

Keesokan hari, bapanya, Zhao Zhijie, menemukan resit di bawah tilam yang mendedahkan remaja itu menderma plasma darah, banyak kali, antara Mei dan Disember tahun lalu.

Resit itu menunjukkan bahawa Zhao Wei menderma plasma darah sebanyak 16 kali dalam tempoh lapan bulan sebelum kematiannya, dengan selang waktu paling singkat adalah hanya 12 hari. Ada satu bulan yang mana dia berbuat demikian sebanyak tiga kali.

Laporan perubatan pada 5 Januari lalu mendedahkan dia disahkan mengalami anemia teruk dan gangguan darah.

Pada hari dia meninggal dunia, Zhao Wei memberitahu rakannya di WeChat bahawa dia tidak sihat dan berasa terlalu lemah untuk melakukan apa-apa.

"Saya beritahu dia, badannya sudah mencapai had. Berhenti menderma darah. Dia perlu makan dengan baik dan pulih sepenuhnya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan perkara lain," kata rakannya itu.

Walaupun pendermaan darah adalah tindakan sukarela, ia hanya dibenarkan dilakukan hanya sekali setiap enam bulan. Ia boleh dijalankan sebagai aktiviti komersial.

Ia biasanya dijalankan di lokasi dikendalikan oleh syarikat swasta dan membabitkan pengumpulan hanya plasma darah.

Peraturan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada 2021 menetapkan bahawa selang masa derma plasma darah mestilah tidak kurang daripada 14 hari, dan tidak boleh melebihi 24 kali dalam setahun.

Di bawah garis panduan ini, kekerapan Zhao Wei menderma plasma darah, terutamanya dengan selang waktu sesingkat 12 hari, adalah jelas melanggar peraturan itu.

Rekod perbualan WeChat mendedahkan Zhao Wei terbabit dalam proses pendermaan plasma darah. Setiap kali, perantara akan mengatur pengangkutan untuk menjemputnya dan membayarnya AS260 hingga AS$36 hingga AS$42 (kira-kira RM186 hingga RM200).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 11:25 AM