LELAKI mendukung anaknya melintasi jambatan rosak selepas dilanda hujan dan banjir akibat Taufan Doksuri di  Zhuozhou, wilayah Hebei. FOTO Reuters
LELAKI mendukung anaknya melintasi jambatan rosak selepas dilanda hujan dan banjir akibat Taufan Doksuri di Zhuozhou, wilayah Hebei. FOTO Reuters
Reuters

Singapura: Hampir separuh daripada bandar utama China sedang tenggelam pada tahap 'sederhana hingga teruk', meletakkan berjuta-juta orang berisiko berdepan banjir terutama apabila paras laut meningkat, menurut kajian data satelit seluruh negara yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pengarang kajian yang diterbitkan oleh jurnal Science, mendapati 45 peratus daripada tanah bandar China tenggelam lebih cepat daripada tiga milimeter setahun, dengan 16 peratus lebih daripada 10 mm setahun.

Ia didorong bukan sahaja oleh penurunan paras air, tetapi disebabkan peningkatan beban atau berat akibat pembinaan berlebihan di sesuatu kawasan.

Dengan populasi di bandar China sudah melebihi 900 juta orang, ' walaupun sebahagian kecil tanah yang tenggelam di negara itu, ia boleh menjadi ancaman besar kepada kehidupan bandar, kata pasukan penyelidik diketuai Ao Zurui daripada South China Normal University.

Tanah yang tenggelam sudah menyebakan kerugian tahunan lebih daripada 7.5 bilion yuan (RM4.98 bilion, dan dalam abad yang akan datang, hampir satu perempat daripada kawasan pantai sebenarnya boleh lebih rendah daripada paras laut, meletakkan ratusan juta orang berdepan risiko yang lebih besar untuk diancam banjir.

"Ia benar-benar menyumbang kepada masalah besar kepada negara kerana ia bukan hanya berlaku di satu dua tempat.

"Dan ia adalah mikrokosmos daripada apa yang berlaku di seluruh dunia," kata Robert Nicholls di Pusat Penyelidikan Perubahan Iklim Tyndall di Universiti East Anglia.

Bandar utara Tianjin yang dihuni lebih daripada 15 juta orang, dikenal pasti satu daripada bandar paling teruk terjejas.

Tahun lalu, kira-kira 3,000 penduduk dipindahkan selepas 'bencana geologi mengejut' yang dikatakan penyiasat berpunca disebabkan kekurangan air serta pembinaan telaga geoterma.

Banyak daerah arang batu lama di China juga tenggelam akibat perlombongan, mendorong pihak berkuasa meletakkan konkrit ke dalam terowong yang runtuh untuk mengukuhkan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 4:17 PM