JAKARTA sering dilanda banjir berikutan sebahagian ibu kota Indonesia itu semakin ‘tenggelam’. FOTO fail AFP
JAKARTA sering dilanda banjir berikutan sebahagian ibu kota Indonesia itu semakin ‘tenggelam’. FOTO fail AFP
Agensi

Jakarta: Indonesia mempertimbangkan untuk meneruskan rancangan membina tembok laut bagi menghalang ibu negaranya daripada tenggelam pada kadar lebih cepat.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, projek memakan masa sehingga 2040 itu memerlukan tiga fasa pembinaan, dengan dua peringkat pertama bernilai 14.04 bilion dolar Singapura (RM49.01 bilion).

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa peruntukan sebenar diperlukan untuk fasa ketiga.

Walaupun idea itu dilontarkan selama lebih sedekad, cadangan untuk membina tembok laut, baru-baru ini, dihidupkan semula apabila Jakarta dilaporkan menjadi megacity yang paling cepat tenggelam.

"Ia apabila ibu negara tenggelam sebanyak 25 sentimeter (sm) setahun..." kata Airlangga seperti dilaporkan Bloomberg.

Jakarta menjadi tempat tinggal kepada lebih 10 juta penduduk. Bandar raya di Pulau Jawa itu menyaksikan beberapa kawasan tanahnya 'menurun' sehingga empat meter antara 1997 hingga 2005.

Pakar meramalkan satu pertiga daripada ibu negara itu mungkin 'tenggelam' menjelang 2050, jika dibiarkan.

Banjir di pantai Jakarta dianggarkan menyebabkan kerugian 2.1 trilion rupiah setahun yang berpotensi meningkat kepada 10 trilion rupiah setiap tahun, dalam dekad akan datang.

Untuk memperlahankan bandar raya itu daripada 'tenggelam', Indonesia mengehadkan pengekstrakan air bawah tanah serta mewujudkan ibu kota baharu di hutan Borneo, dengan kos 45 bilion dolar Singapura (RM157.09 bilion) yang dipanggil Nusantara.

Indonesia akan memilih pemimpin baharu pada 14 Februari ini dan masih belum diketahui sama ada pengganti Presiden Joko Widodo akan meneruskan projek infrastruktur besar-besaran itu.

Menteri Pertahanan Prabowo Subianto berkata, masalah dihadapi tembok laut itu memerlukan kira-kira 40 tahun untuk disiapkan.

"Masalahnya ialah sama ada pemimpin politik mempunyai fokus, pemikiran dan keupayaan untuk melihat melalui projek itu.

"Ini tanggungjawab kami," katanya yang mendahului sebagai calon presiden menerusi tinjauan pengundi untuk pilihan raya presiden, ketika pelancaran pelan tembok laut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 12:07 PM