LELAKI Palestin gembira selepas dapat membeli roti bersubsidi di luar kedai roti di Gaza. FOTO AFP
LELAKI Palestin gembira selepas dapat membeli roti bersubsidi di luar kedai roti di Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Ratusan rakyat Palestin beratur untuk mendapatkan roti di sebuah kedai roti yang dibuka semula di Bandar Gaza, selepas bekalan itu tiba di kawasan yang disekat, sejak berbulan lalu.

Mereka sanggup menunggu berjam lamanya di jalan di bandar terbesar Gaza itu kerana kedai roti itu menghasilkan roti bersubsidi selepas Program Makanan Sedunia dapat membekalkan semula bahan makanan itu.

Kanak-kanak berdiri dengan sabar dalam barisan bersama lelaki muda dan orang tua.

"Apabila Israel menghalang kami daripada mendapatkan tepung, kami mula makan jagung dan barli, sehingga sampai ke tahap yang mana kami terpaksa makan makanan haiwan," kata seorang penduuduk, Wissam Dawad.

Firas Sukkar yang turut beratur berkata, dia gembira dengan perkara itu.

"Saya gembira tetapi saya bersumpah demi Allah, kita penat. Kami kehilangan anak lelaki, anak perempuan dan isteri... Apa lagi yang boleh saya minta? Satu-satunya mesej saya ialah menghentikan perang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Khaled al-Ghoula berkata, dia menunggu selama enam jam untuk mendapatkan sebuku roti.

"Ia satu perjuangan yang amat sukar. Ini tidak adil. Kuantiti yang ada jelas tidak mencukupi," katanya.

Moataz Ajour pula berharap program itu akan diteruskan.

"Kami berharap orang ramai dan Program Makanan Dunia juga akan menyokong kami, supaya kuantitinya mencukupi, dan kami boleh meneruskan kerja kami," katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran bahawa perang dan pengepungan Gaza menyebabkan bencana kelaparan tahap tertinggi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:58 PM