PENDUDUK Palestin di Khan Yunis beratur untuk membeli roti yang semakin kehabisan bekalan akibat peperangan yang berlarutan lapan hari. FOTO Reuters.
PENDUDUK Palestin di Khan Yunis beratur untuk membeli roti yang semakin kehabisan bekalan akibat peperangan yang berlarutan lapan hari. FOTO Reuters.
Reuters

Gaza: Ketika pengeboman Israel tidak berhenti pada Sabtu, kedai bakeri di Gaza pula kehabisan roti, tiada lagi bekalan air minuman, mahupun elektrik yang membolehkan penduduk mengecas telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga mereka.

"Kini berlaku krisis elektrik, makanan dan air. Krisis segala-galanya," kata penduduk, Eyad Abu Mutlaq, 45, yang menceritakan situasi terkini di Khan Yunis, selatan Gaza yang padat dengan pelarian dari utara.

Kebanjiran penduduk dari utara itu selepas Israel memberi amaran pada Jumaat supaya mengosongkan bahagian Semenanjung Gaza terbabit berikutan serangan darat mahu dilaksana ke atas Hamas.

Kata Eyad, keadaan itu juga menyebabkan bekalan makanan dan keperluan lain yang meruncing sejak lapan hari lalu, habis sepenuhnya.

"Hanya Tuhan yang dapat menyelesaikan semua ini," katanya selepas mengunjungi empat kedai roti yang semuanya dipenuhi penduduk beratur panjang dan kehabisan bekalan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dilapor menggesa Israel untuk 'mengelak malapetaka kemanusiaan' di Gaza, tanah air kepada 2.3 juta orang.

Seorang lagi penduduk Khan Yunis dikenali Um Salem berkata, dia hanya mahu mendapatkan makanan asas untuk anak-anaknya.

"Saya cuma mencari makanan asas, telur, beras, makanan tin dan susu tapi langsung tiada.

"Ini caranya Israel melawan kami, menerusi kanak-kanak yang dibiarkan kelaparan. Mereka sama ada membunuh kanak-kanak dengan bom atau biarkan kelaparan," katanya.

Konflik Israel-Hamas berlarutan sejak 7 Okt, mengorbankan 2,329 rakyat Palestin, manakala 9,042 yang lain cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 3:42 PM