URS Fehr (kanan) ketika memohon maaf atas insiden berkenaan. FOTO Agensi
URS Fehr (kanan) ketika memohon maaf atas insiden berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Thailand membatalkan visa lelaki Switzerland yang didakwa menyerang wanita tempatan di Phuket, baru-baru ini, lapor BBC.

Lelaki itu mencetuskan kemarahan ramai selepas laporan dia didakwa menendang seorang wanita tempatan yang duduk di tangga berhampiran vilanya di Phuket.

Urs Fehr dan isterinya yang juga warga Thailand, Khanuengnit berkata, mereka menyangka mangsa menceroboh hartanah mereka.

Pasangan itu kemudiannya meminta maaf.

Ratusan penduduk tempatan yang marah kemudiannya berkumpul di hadapan vila tepi laut milik Fehr, pada Ahad lalu dan menuntut supaya lelaki itu diusir dari Thailand.

Lebih 100,000 warga asing dianggarkan menetap di Phuket.

Phuket, salah satu kawasan panas paling popular di Thailand, dan dikunjungi jutaan pelancong setiap tahun.

Menurut laporan tempatan, kejadian pada 24 Februari lalu berlaku selepas Fehr, 45, yang juga pengarah urusan santuari gajah di Thailand, menendang punggung Thandao Chandam.

Ketika itu, Thandao yang juga seorang doktor di Phuket dan rakannya duduk di tangga sebuah vila yang mereka sangkakan adalah bukan hartanah persendirian.

Khanuengnit juga didakwa memarahi Thandao, yang bekerja sebagai doktor di Phuket.

Fehr berkata, dia percaya Thandao dan rakannya menceroboh hartanah mereka.

Dia juga mendakwa, dia tidak menendang Thandao tetapi tergelincir semasa berjalan ke arahnya, menurut Bangkok Post.

Insiden itu mencetuskan reaksi marah dalam kalangan penduduk tempatan, dengan ramai yang menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan visa Fehr dan menuntut pemulihan akses orang ramai ke pantai berhampiran hartanahnya.

Siasatan kemudian mendapati tangga vila itu dibina secara haram di atas tanah awam.

Pegawai imigresen berkata, mereka akan menahan Fehr, namun dia boleh kekal di Thailand buat masa ini untuk membela diri dalam kes berkenaan.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, selepas kejadian itu, beliau mengarahkan polis dan Kementerian Pelancongan meningkatkan langkah bagi memastikan warga asing mematuhi undang-undang Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 11:51 AM