PENYOKONG pergerakan Houthi mendengar ucapan pemimpinnya, Abdul Malik al-Huthi di sebuah masjid di Sanaa. FOTO AFP
PENYOKONG pergerakan Houthi mendengar ucapan pemimpinnya, Abdul Malik al-Huthi di sebuah masjid di Sanaa. FOTO AFP
Reuters

Sanaa: Bandar pelabuhan Hodeidah di Yaman dan kawasan pantai barat lain dilanda serangan udara, pada Isnin, yang dikaitkan dengan pakatan Amerika Syarikat (AS)-United Kingdom (UK) yang mempertahankan kapal di Laut Merah.

Menurut Al Masirah, saluran berita televisyen utama yang dikendalikan kumpulan Houthi, serangan itu susulan kematian orang awam pertama dan kehilangan kapal sejak Houthi yang bersekutu dengan Iran mula menyerang perkapalan komersial pada November.

Ia juga bertepatan dengan hari pertama bulan suci Ramadan, tempoh berpuasa bagi umat Islam.

Al Masirah tidak menyatakan sasaran itu, tetapi berkata, empat daripada serangan itu berlaku di pelabuhan Ras Issa.

Walaupun tindakan balas daripada gabungan AS-UKdan tentera laut lain, Houthi sudah meningkatkan kempen serangan ke atas kapal komersial di salah satu lorong perkapalan paling sibuk di dunia itu, yang mereka katakan sebagai solidariti dengan rakyat Palestin yang diserang di Gaza dalam perang Israel dengan Hamas.

Sebelumnya, serangan Houthi membunuh tiga kru kapal Barbados, True Confidence yang dikendalikan oleh Greece pada minggu lalu dalam serangan di pelabuhan Aden.

Ia berlaku beberapa hari selepas kapal kargo Rubymar, karam kira-kira dua minggu selepas terkena peluru berpandu Houthi pada 18 Februari.

Banyak kapal kini membuat perjalanan yang lebih lama dan lebih mahal di sekitar Tanjung Harapan di Afrika untuk mengelakkan laluan berbahaya melalui Teluk Aden, Laut Merah dan Terusan Suez sekali gus meningkatkan kos penghantaran secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 10:13 AM