DOKTOR merawat orang ramai yang cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ketika mereka menunggu bantuan. FOTO Reuters
DOKTOR merawat orang ramai yang cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ketika mereka menunggu bantuan. FOTO Reuters
Agensi

Ottawa: Ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menggesa satu siasatan bebas dan boleh dipercayai dilakukan terhadap pembunuhan tentera Israel ke atas lebih 100 orang awam Palestin yang menunggu bantuan kemanusiaan di Gaza, lapor agensi Anadolu.

Jurucakapnya Stephane Dujarric pada Jumaat berkata, Setiausaha Agung iaitu Antonio Guterres berkata, perlu ada siasatan bebas dan boleh dipercayai mengenai apa yang berlaku.

"Perlu ada akauntabiliti untuk segala-galanya yang berlaku sejak 7 Oktober," katanya.

Pada Khamis, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang menunggu bantuan kemanusiaan di bulatan Al Nabulsi di Jalan Al Rashid, jalan pantai utama ke barat Bandar Gaza di utara Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya 112 rakyat Palestin maut dan 760 cedera.

Tentera Israel berkata siasatan awal mendapati rakyat Palestin menghampiri pusat pemeriksaan tentera yang mengawasi kemasukan trak bantuan apabila tentera melepaskan tembakan amaran dan menembak ke arah kaki warga Palestin yang terus bergerak ke arah tentera.

Dujarric menyatakan pasukan Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kakitangan UNICEF sudah melawat hospital Shifa di Gaza City.

"Mereka membawa bersama ubat-ubatan, vaksin dan bahan api untuk membantu memastikan kemudahan perubatan itu terus berfungsi," katanya.

Menurutnya, hospital menerima lebih 700 orang yang cedera ketika mendapatkan bantuan.

Dujarric berkata hospital Shifa memberitahu pasukan PBB mereka menerima mayat lebih 70 orang yang terbunuh pada Khamis.

Beliau juga berkata, bantuan yang dibawa ke hospital adalah kali pertama konvoi PBB yang dapat menyampaikan bantuan ke utara Gaza dalam tempoh lebih satu minggu.

Israel melancarkan serangan ketenteraan maut di Semenanjung Gaza sejak serangan 7 Oktober tahun lalu.

Israel juga mengenakan sekatan yang melumpuhkan di Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya penduduk di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 2:09 PM