Khemah perlindungan di kawasan Hospital Al-Shifa. - FOTO Reuters
Khemah perlindungan di kawasan Hospital Al-Shifa. - FOTO Reuters
AFP

Gaza: Tentera Israel mengarahkan pengosongan Hospital Al-Shifa "dalam satu jam berikutnya" dengan arahan diberikan melalui pembesar suara pada Sabtu.

Arahan itu didengari seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Hospital Al-Shifa yang terbesar di Gaza, menjadi tumpuan perang Israel-Hamas, yang kini memasuki minggu ketujuh selepas serangan 7 Oktober lalu.

Israel mendakwa Hamas mengendalikan pangkalan di bawah Al-Shifa, tuduhan yang dinafikan kumpulan itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 2,300 pesakit, kakitangan dan penduduk Palestin yang dipindahkan berlindung di Al-Shifa sebelum tentera Israel menceroboh pada Rabu.

Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza telah mengumumkan berpuluh-puluh kematian di sana akibat pemadaman elektrik yang disebabkan oleh kekurangan bahan api di tengah-tengah pertempuran sengit.

Israel telah membuat gesaan berulang kali supaya hospital itu dipindahkan ke selatan, namun pakar perubatan berkata pesakit tidak boleh dipindahkan.

Pengarah hospital Mohammed Abu Salmiya memberitahu AFP, Israel mengarahkannya untuk memastikan "pemindahan pesakit yang cedera, mereka yang kehilangan tempat tinggal serta kakitangan perubatan, dan mereka harus bergerak dengan berjalan kaki ke arah pinggir laut", katanya kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 3:24 PM