ASAP tebal dilihat di Gaza susulan pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin. FOTO Reuters
ASAP tebal dilihat di Gaza susulan pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Tentera Israel pada Jumaat menyerbu sebuah hospital di bandar selatan Gaza Khan Younis yang dikepung selama berminggu-minggu, kata pengendali hospital, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

"Pasukan pendudukan (Israel) menyerbu Hospital Al-Amal dan mula menggeledahnya.

"Kami mendapati sukar untuk berkomunikasi dengan kru kami di dalam hospital," kata PRCS dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mengesahkan tenteranya sedang menjalankan operasi.

"Berdasarkan risikan yang menunjukkan Hamas sedang menjalankan aktiviti dalam Hospital Al-Amal di Khan Younis, operasi tepat dan jelas untuk mengesan pejuang Hamas dan membongkar infrastruktur Hamas di sekitar dimulakan," kata tentera Israel kepada AFP.

Hospital Al-Amal terperangkap dalam pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hamas, dengan Bulan Sabit Merah melaporkan "tembakan artileri yang kuat dan tembakan berat" berterusan di sekitar hospital itu, pada Khamis (8 Februari lalu).

Organisasi perubatan dalam beberapa hari kebelakangan ini membuat rayuan berulang kali untuk bekalan dan perlindungan, melaporkan kekurangan oksigen, ubatan dan bahan api yang teruk untuk menggerakkan hospital di Gaza.

Awal minggu ini, PRCS memaklumkan kira-kira 8,000 orang mencari perlindungan di Hospital Al-Amal dan berhampiran ibu pejabatnya di Khan Younis, sudah dipindahkan.

Sebuah video yang dimuat naik oleh organisasi itu menunjukkan seorang doktor memimpin seorang wanita tua melalui jalan yang rosak untuk ke katil hospital.

Kira-kira 40 orang kehilangan tempat tinggal, manakala 80 pesakit dan 100 kakitangan kekal susulan pemindahan itu, kata PRCS pada Isnin, 5 Februari.

Hospital diberikan perlindungan khas di bawah undang-undang perang tetapi berulang kali diserang Israel, sejak empat bulan lalu.

Tiada hospital yang berfungsi sepenuhnya di Gaza, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu lalu, manakala lebih satu pertiga daripadanya beroperasi pada kapasiti terhad.

Kemudahan kesihatan kini dibanjiri oleh jumlah korban yang besar, manakala lebih 67,000 orang cedera ketika perang di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, serangan udara, laut dan darat tanpa henti oleh Israel membunuh sekurang-kurangnya 27,947 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 11:03 AM