RAKYAT Palestin dirawat di hospital Al-Shifa di Kota Gaza susulan serangan Israel ke atas penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, semalam. FOTO AFP.
RAKYAT Palestin dirawat di hospital Al-Shifa di Kota Gaza susulan serangan Israel ke atas penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, semalam. FOTO AFP.
Reuters

Gaza: Serangan Israel semalam ke atas Kota Gaza mengorbankan 20 rakyat Palestin dan mencederakan 150 lagi yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan, kata Menteri Kesihatan Gaza.

Kekejaman itu disifatkan gabungan Palestin sebagai satu lagi 'jenayah perang'.

Tentera Israel berkata, pihaknya sedang meneliti laporan itu.

Jawatankuasa Susulan Pejuang Islam dan Kebangsaan, iaitu gabungan kumpulan pejuang dan politik berkata, tentera Israel menyasarkan orang awam yang menunggu bantuan.

"Berpuluh orang terbunuh dan cedera dalam jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai ini," kata kumpulan itu dalam kenyataan semalam.

Dalam kejadian lain yang juga berlaku di tengah Gaza, pegawai kesihatan Palestin berkata, enam orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada waktu malam ke atas sebuah rumah di kem pelarian Al-Nusseirat.

Di selatan wilayah terkepung itu pula, kereta kebal Israel menggempur kawasan sekitar dua hospital di bandar Khan Younis, memaksa penduduk yang berpindah bergelut untuk mencari tempat perlindungan baharu demi keselamatan.

Sementara itu di utara, pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan situasi kekurangan makanan sebagai "benar-benar mengerikan" dan petugas kemanusiaan memaklumkan penghantaran bantuan yang jarang berlaku, dikerumuni oleh penduduk yang terdesak serta kelaparan.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Semenanjung Gaza kini tertumpu di Khan Younis dan bandar antara utara dan selatan, selepas dipaksa keluar dari utara Gaza pada awal kempen ketenteraan Israel.

Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam di Khan Younis, di mana Israel mengalihkan operasi ketenteraan sepenuhnya selepas menarik pasukan keluar dari kawasan utara yang sebahagian besar di bawah kawalan.

"Tiada kawasan selamat... ke mana kita hendak pergi? Hentikan perang, itu sudah cukup," kata seorang wanita Palestin di Rafah, di pinggir selatan Gaza.

Dalam kemas kini terbaharu, tentera Israel berkata, pasukannya di Khan Younis sedang memerangi militan pada jarak dekat dan menggunakan serangan udara dan penembak tepat untuk mengeluarkan beberapa sasaran Hamas.

Pasukan perubatan Palestin berkata, kereta kebal Israel membedil sasaran di sekitar dua hospital utama di bandar itu, Nasser dan Al-Amal, sekali gus memerangkap pasukan perubatan, pesakit dan orang terlantar yang berkumpul di dalam atau berdekatan premis.

Israel berkata, militan Hamas menggunakan hospital sebagai perlindungan untuk pangkalan, sesuatu yang dinafikan kumpulan pejuang Islam dan kakitangan perubatan.​

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 8:28 AM