Agensi

New Delhi: Syarikat penerbangan tambang rendah IndiGo didenda 1.2 crore (kira-kira RM681,000) oleh Biro Keselamatan Penerbangan Awam (BCAS) India selepas video tular menunjukkan penumpang makan di atas landasan ketika mereka menunggu penerbangan tertunda untuk berlepas, lapor NDTV.

Pengawal selia penerbangan negara, DGCA, juga mengambil maklum mengenai video yang tersebar di media sosial dan mengarahkan lapangan terbang Mumbai membayar 30 lakh (kira-kira RM170,000) susulan insiden itu.

Terdahulu, pusat itu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada IndiGo dan lapangan terbang Mumbai berhubung video penumpang makan di atas landasan, pada Selasa.

Menurut laporan media tempatan, ramai penumpang bergegas keluar dari pesawat IndiGo di Lapangan Terbang Mumbai, duduk di atas landasan dan ada juga yang dilihat makan di situ.

Ia selepas pesawat IndiGo untuk laluan Goa-Delhi itu ditunda masa pelepasannya.

Selepas klip video mendapat perhatian media sosial, lapangan terbang Mumbai mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa dengan kerjasama Pasukan Tindak Balas Pantas (QRT) Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF), pengendali lapangan terbang berjaya memindahkan penumpang berkenaan ke zon selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 4:46 PM