SEORANG wanita dan anaknya berlindung di sebuah khemah di kem yang dikendalikan PBB di Khan Younis, Semenanjung Gaza.  FOTO Reuters
SEORANG wanita dan anaknya berlindung di sebuah khemah di kem yang dikendalikan PBB di Khan Younis, Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Sabtu memberi amaran ia menjangkakan peningkatan dalam kematian ibu dan bayi baru lahir di Semenanjung Gaza.

Agensi Anadolu melaporkan, ia disebabkan kekurangan akses terhadap penjagaan kesihatan yang cukup akibat serangan berterusan dan sekatan terhadap bekalan makanan serta ubat-ubatan.

"Wanita, kanak-kanak dan bayi baru lahir di Gaza kini menanggung beban akibat krisis Israel-Palestin.

"Kematian ibu dijangka meningkat memandangkan kekurangan akses kepada penjagaan yang mencukupi.

"Pengeboman, kemudahan kesihatan yang rosak atau tidak berfungsi, tahap anjakan yang besar, bekalan air dan elektrik terputus serta akses terhad kepada makanan dan ubat-ubatan sangat mengganggu perkhidmatan kesihatan ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak," kata UNRWA dalam satu kenyataan.

Agensi itu menegaskan bahawa 'jeda kemanusiaan' diperlukan segera untuk mengurangkan penderitaan dan mencegah daripada malapetaka.

Minggu ini, tentera Israel meluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza.

Kawasan itu diserang tanpa henti sejak serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Hampir 11,000 individu terbunuh dalam konflik itu, termasuk 9,488 rakyat Palestin dan lebih 1,538 warga Israel.

Sambil meneruskan pemotongan bekalan elektrik, bahan api dan air ke Gaza, minggu lalu bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk. Bagaimanapun, bantuan diberikan amat sedikit berbanding yang diperlukan 2.3 penduduk di Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 11:50 AM