FOTO semalam menunjukkan orang ramai berada berhampiran bangunan yang runtuh susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
FOTO semalam menunjukkan orang ramai berada berhampiran bangunan yang runtuh susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Pesawat pejuang Israel secara serentak menyerang 12 bangunan di Gaza dalam tempoh satu minit sebagai sebahagian daripada serbuan, pada awal Jumaat.

Agensi Anadolu melaporkan, tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan puluhan jet pejuangnya menyerbu sasaran di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk 12 bangunan bertingkat yang dibom dalam satu minit, dengan mendakwa bangunan itu aset Hamas.

Tentera Israel menambah bahawa ia menyasarkan kira-kira 750 sasaran milik Hamas dan kumpulan Palestin lain di seluruh Gaza dalam serangan itu.

Pihak berkuasa di Gaza mengesahkan dalam beberapa kenyataan bahawa serangan Israel bertujuan untuk mengusir penduduk dari bangunan kediaman dan kawasan kejiranan.

Israel sebelum ini sudah memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keperluan untuk mengosongkan utara Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam.

"Tentera Israel memaklumkan PBB seluruh penduduk Gaza di utara Wadi Gaza harus berpindah ke selatan Gaza dalam tempoh 24 jam akan datang," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu kenyataan lewat Khamis.

Ketika peningkatan ketegangan di Timur Tengah, tentera Israel melancarkan kempen ketenteraan yang berterusan terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan Palestin Hamas di wilayah Israel.

Konflik bermula Sabtu minggu lalu apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa terhadap Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan keganasan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindak balas Israel diperluas kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak kerana sekatan ketat Israel sejak 2007.

Kementerian Kesihatan di Gaza pada Jumaat melaporkan, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung meningkat kepada 1,900 orang .

Agensi Anadolu melaporkan, kementerian dalam satu kenyataan memberitahu bahawa 614 kanak-kanak dan 370 wanita adalah antara individu yang terbunuh dalam serangan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 10:39 AM