KANAK-KANAK Palestin membawa roti di depan bangunan yang runtuh di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin membawa roti di depan bangunan yang runtuh di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Kaherah: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Khamis berkata, rakyat Gaza mesti tetap teguh dan kekal di tanah air mereka.

Ucapan itu ketika banyak gesaan supaya Kaherah membenarkan pembukaan laluan selamat untuk orang awam yang terperangkap di Gaza.

Pintu sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza adalah satu-satunya laluan masuk dan keluar dari enklaf pantai itu, yang tidak dikawal oleh Israel.

"Mesir komited untuk memastikan penyampaian bantuan, perubatan dan kemanusiaan pada masa yang sukar ini," kata Sisi, sambil mengesahkan 'kedudukan kukuh' Kaherah untuk memastikan hak sah rakyat Palestin.

Tetapi beliau menegaskan, dalam ucapan pada majlis ketenteraan, bahawa rakyat Gaza mesti tetap teguh dan kekal di tanah air mereka.

Israel mengebom Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas sejak Sabtu minggu lalu sebagai membalas dendam atas serangan mengejut Hamas di Israel yang membunuh sekurang-kurangnya 1,200 orang.

Rejim tentera Israel kelihatan bersedia untuk menghantar tentera daratnya ke Gaza di mana pegawai melaporkan sekurang-kurangnya 1,400 kematian.

Gaza, enklaf pantai kecil yang menempatkan 2.4 juta orang berdepan sekatan sejak 2007, kini dikepung sepenuhnya Zionis Israel yang melakukan tindakan kejam dengan memutuskan bekalan air, makanan dan kuasa.

Enam hari serangan udara dan artileri Israel tanpa henti menyebabkan kemusnahan besar-besaran di Gaza.

Mesir dari segi sejarah perantara utama antara Hamas dan Israel, menyeru penderma untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ke lapangan terbang El Arish tetapi menolak gesaan untuk membenarkan penduduk Palestin melarikan diri ke kawasannya.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, media berkaitan kerajaan memetik sumber keselamatan peringkat tinggi memberi amaran terhadap penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin, yang dipaksa memilih antara kematian di bawah pengeboman Israel atau melarikan diri dari tanah air mereka.

Mesir mendesak penyelesaian diplomatik kedua-dua pihak yang berperang, dan Sisi menegaskan keselamatan negaranya adalah tanggungjawab utamanya.

Pada Khamis, beliau berkata bahawa Mesir sudah menjadi tuan rumah 'sembilan juta tetamu' dari banyak negara yang datang ke negara itu untuk perlindungan keselamatan.

Tetapi kata Sisi, kes rakyat Gaza berbeza kerana perpindahan mereka akan bermakna menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.

Mesir adalah negara Arab pertama yang menjalinkan hubungan dengan Israel pada 1979, selepas perang enam tahun yang berakhir pada 1973 dengan Mesir memperoleh semula Semenanjung Sinai daripada kawalan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 10:34 AM