MELODY Felicano Johnson. FOTO Polis Tucson
MELODY Felicano Johnson. FOTO Polis Tucson
Agensi

Phoenix: Wanita dari Arizona, Amerika Syarikat (AS) didakwa cuba membunuh suaminya secara perlahan-lahan dengan meletakkan racun pada kopi hariannya, selama berbulan-bulan.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menggunakan kamera tersembunyi untuk memerangkap isterinya.

Melody Felicano Johnson didakwa juri besar Tucson atas tuduhan percubaan membunuh peringkat pertama dalam kes keganasan rumah tangga, melakukan serangan teruk dan meracuni makanan atau minuman, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh KVOA.

Dia mengaku tidak bersalah pada perbicaraan Jumaat lalu.

Pendakwa raya berkata, rancangan untuk meracuni suaminya Roby Johnson, seorang anggota Tentera Udara AS, bermula sejak Mac lalu.

Lelaki itu pada mulanya menyedari ada bau aneh di dalam kopinya.

Pasangan itu mempunyai anak, tinggal bersama di Jerman, dan ketika itu, sudah memutuskan untuk bercerai.

Beberapa minggu kemudian, Roby yang mengesyaki sesuatu yang aneh pada kopi itu menggunakan jalur ujian.

Dia terkejut apabila keputusan menunjukkan tahap klorin yang tinggi di dalam teko kopi, kata dakwaan.

Pada Mei lalu, dia meletakkan kamera tersembunyi yang merakam perbuatan Melody menuangkan sesuatu ke dalam mesin pembuat kopi.

Roby dilaporkan memberitahu penyiasat, dia berpura-pura minum kopi itu sehingga mereka kembali ke AS, pada Jun lalu, selepas dia ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan.

Dia kemudian meletakkan lagi beberapa kamera tersembunyi untuk mengumpul bukti.

Rakaman itu jelas menunjukkan Melody mengambil peluntur sebelum menuangkan ke dalam bekas dan kemudian menuangkannya ke dalam pembuat kopi.

Polis membuka kertas siasatan selepas Roby menyerahkan rakaman itu ketika membuat laporan polis.

Dalam keterangannya, Roby percaya Melody mahu membunuhnya untuk menuntut faedah kematiannya.

Kini, Melody ditahan di Penjara Pima County dengan bon AS$250,000 (RM1,143,700).

Perbicaraan selanjutnya dijadualkan pada 6 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:52 PM