Wastiti Putri meminum secawan kopi yang disediakan Angga selepas mereka diijabkabulkan. - Detiknews
Wastiti Putri meminum secawan kopi yang disediakan Angga selepas mereka diijabkabulkan. - Detiknews

Banyuwangi (Indonesia): Dalam majlis perkahwinan, pengantin lelaki biasanya memberikan mas kahwin dalam bentuk wang tunai, emas atau al-Quran kepada bakal isterinya tetapi lain pula ceritanya bagi pasangan di bandar ini.

Wastiti Putri, 30, yang melangsungkan perkahwinan kelmarin hanya meminta secawan kopi Arabica sebagai mas kahwin daripada bakal suaminya, Angga Yudistira, 33.

Sebelum majlis akad nikah berlangsung, Angga membancuh campuran kopi Arabica sejuk sebelum dihidangkan dalam cawan.

Selepas pasangan itu disahkan sebagai suami isteri, Wastiti Putri meminum kopi berkenaan hingga habis.

Wastiti Putri berkata, dia sengaja meminta mas kahwin berupa secawan kopi kerana dia dan suaminya memang penggemar kopi.

“Selama berkenalan kami sering menikmati kopi bersama-sama dan minuman ini menjadi satu bentuk ikatan pada kami.

“Mas kahwin ini juga menunjukkan keikhlasan suami saya dan saya berharap kami kekal bahagia hingga ke syurga,” katanya.

Angga pula berkata, rasa kopi yang pahit dan manis melambangkan pahit manis kehidupan pasangan suami isteri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:23 AM