KYOTA Hattori dihukum penjara 23 tahun akibat jenayah dilakukannya. FOTO The Yomiuri Shimbun
KYOTA Hattori dihukum penjara 23 tahun akibat jenayah dilakukannya. FOTO The Yomiuri Shimbun
AFP

Tokyo: Mahkamah Jepun menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun terhadap lelaki berpenampilan seperti karakter Joker dalam filem Batman, selepas dia didapati bersalah atas cubaan membunuh dan mencetuskan kebakaran di sebuah kereta api di Tokyo.

Jurucakap mahkamah memberitahu AFP, keputusan untuk serangan Halloween pada 2021 itu diputuskan Mahkamah Daerah Tokyo cawangan Tachikawa.

Jiji Press dan media tempatan melaporkan, Kyota Hattori, 26, disabitkan kesalahan menikam seorang penumpang lelaki berusia 70-an dan cuba membunuh 12 mangsa lain dengan memulakan kebakaran dalam kereta api.

Hattori memberitahu penyiasat, dia mahu membunuh orang dan dikenakan hukuman mati.

Dia juga memberitahu mereka, dia menyalakan pemetik api di dalam kereta api.

Pada Ogos 2021, sembilan orang cedera dengan seorang daripada mereka parah dalam kejadian tikaman di sebuah kereta api komuter di Tokyo.

Suspek kemudian menyerahkan diri selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

Beberapa media yang melaporkan insiden itu menyatakan seorang lelaki berusia 60-an tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal selepas ditikam suspek.

Saksi berkata, penyerang menuang cecair di sekitar kereta api dan menyalakan api kebakaran.

Sementara itu, satu video yang dimuat naik di Twitter dan disiarkan di NHK menunjukkan, orang ramai yang panik berpusu-pusu melarikan diri dari kereta api.

Beberapa saat kemudian, letupan kecil berlaku yang menyebabkan kebakaran.

Satu lagi video menunjukkan penumpang yang ketakutan bergegas keluar dari tingkap kereta api dan ke platform di mana kereta api itu berhenti secara kecemasan.

Seorang saksi berkata, dia melihat seorang lelaki berjalan membawa pisau panjang yang mempunyai darah.

"Saya fikir ia adalah aksi Halloween," kata," katanya kepada akhbar Yomiuri.

Sementara itu, dalam kejadian berlainan pada bulan sama, dua individu cedera dalam serangan asid di stesen kereta api di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 2:30 PM