Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Agensi

Kathmandu: Mahkamah daerah di Nepal pada Khamis menolak permohonan pendaftaran perkahwinan sejenis yang difailkan dua lelaki, meskipun Mahkamah Agung mengiktiraf jenis perkahwinan itu.

India Today melaporkan Maya Gurung, 38, dan Surendra Pandey, 27, yang kedua-duanya dilahirkan lelaki memohon kebenaran mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, Hakim Madhav Prasad Mainali menolak permohonan itu atas alasan kedua-duanya sama jantina.

"Mahkamah Agung sudah mengeluarkan perintah sementara untuk pendaftaran perkahwinan sejenis, tetapi malangnya Mahkamah Daerah Kathmandu menolak permohonan ahli komuniti minoriti ini," kata aktivis, Sunil Babu Panta.

Menurutnya, tindakan mahkamah terbabit bukan sahaja tamparan buat komuniti itu, tetapi dianggap tidak menghormati perintah Mahkamah Agung.

"Walaupun keputusan mahkamah yang prejudis itu melukakan perasaan kami namun kami tidak menganggapnya sebagai satu kekalahan. Kami akan membawa perkara ini kepada Mahkamah Agung secepat mungkin," katanya.

Mahkamah Agung Nepal pada 28 Jun lalu mengiktiraf perkahwinan sejenis, namun negara itu belum menggubal undang-undang untuk membolehkan perkahwinan sejenis didaftarkan.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi itu mengeluarkan perintah sementara bagi membolehkan pendaftaran perkahwinan sejenis diatur, sebelum undang-undang digubal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 3:01 PM