POLIS India menggunakan teknologi AI untuk mengesan mereka yang menipu dalam peperiksaan untuk pengambilan penjawat awam. FOTO Agensi.
POLIS India menggunakan teknologi AI untuk mengesan mereka yang menipu dalam peperiksaan untuk pengambilan penjawat awam. FOTO Agensi.
Agensi

New Delhi: Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dimanfaatkan Polis India membolehkan agensi itu menangkap 87 orang disyaki menipu ketika peperiksaan pengambilan penjawat awam.

Polis Uttar Pradesh memaklumkan minggu lalu, jumlah tangkapan itu merangkumi calon yang menduduki peperiksaan awam di pusat seluruh negeri.

Katanya, jumlah teramai ditahan di daerah Lucknow (11), diikuti Banda (10), Aligarh (8), Kanpur (8), Varanasi (8), Ghaziabad (7), Gorakhpur (6), Azamgarh (5), Gautam Buddh Nagar (5), Mirzapur (5), Agra (4), Jhansi (4), Basti (2) dan masing-masing satu di Bareilly, Meerut, Prayagraj dan Moradabad.

Antara yang ditahan termasuk calon palsu dikenali 'penyelesai' yang akan memasuki dewan peperiksaan sebagai menggantikan calon sebenar, selain mereka yang menggunakan cara tidak adil untuk menjawab soalan.

Peperiksaan awam itu bagi pengambilan pegawai pembangunan kampung atau Gram Vkas Adhikari yang dikendalikan Suruhanjaya Pemilihan Perkhidmatan Bawahan Uttar Pradesh (UPSSSC).

Seorang pegawai kanan polis memberitahu, semua usaha telah dilaksana dengan bimbingan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath bagi memastikan kelancaran peperiksaan di semua pusat.

"Dengan menggunakan perisian dan teknologi pengecaman muka terkini berasaskan AI, dan dengan sokongan aktif serta bantuan Pasukan Petugas Khas dan daerah serta pentadbiran polis tempatan, sebanyak 87 'penyelesai' (termasuk seorang wanita) telah ditangkap Selasa (27 Jun)," kata pegawai itu.

Polis sedang mengambil tindakan undang-undang yang sesuai atas tuduhan menipu, pemalsuan, dan menggunakan cara yang tidak adil semasa peperiksaan awam yang diadakan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 2:47 PM