GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) membabitkan 95 kawasan atau lokaliti penempatan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,183 kes secara keseluruhan dengan 114 pesakit dibenarkan discaj, sehingga 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Petaling Jaya merekodkan taburan kes tertinggi dengan 96 kes.

Ia diikuti Lembah Pantai dengan 90 kes, Hulu Langat (75), Johor Bahru (52), Titiwangsa (41) dan Gombak (38).

Beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor yang turut merekodkan kes ialah Klang dengan 23 kes, Kuala Selangor (17), Sepang (8), Kuala Langat (8) dan Hulu Selangor (3) manakala Kepong (24), Cheras (11) serta Putrajaya (9).

Selain Johor Bahru, kes jangkitan Covid di Johor turut direkodkan berlaku di Kluang (26), Batu Pahat (23), Muar (13), Kulai (5), Pontian dan Tangkak masing-masing tiga kes manakala satu kes di Segamat serta Mersing.

Negeri Sembilan pula membabitkan Seremban dengan 42 kes, Rembau (10), Tampin (10), Port Dickson (3), AKEPT (2) dan masing-masing satu kes di Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.

Di Melaka, sebanyak 11 kes direkodkan di Jasin, Alor Gajah (6) dan Melaka Tengah (5).

Utara juga berlaku penularan jangkitan Covid-19 apabila lapan kawasan di Kedah merekodkan kes dengan Kuala Muda (23), Kota Setar (10), Kubang Pasu (6), Langkawi (3), Pendang (2) manakala masing-masing satu kes di Baling, Padang Terap dan Kulim serta Perlis.

Perak membabitkan kawasan Kinta dengan 21 kes, Hilir Perak (13), Kerian (7), Perak Tengah (6), Manjung (4), Larut Matang Selama (3) dan Batang Padang (1) manakala Pulau Pinang (34) serta Seberang Perai (16).

Di Kelantan sebanyak 29 kes direkodkan di Kota Bharu manakala Pasir Mas (9), Kuala Krai (8), Bachok (7), Pasir Puteh (4), Tumpat (3) dan Gua Musang (1).

Sebanyak 12 kes direkodkan di Kuala Terengganu, Besut (7), Dungun (5), masing-masing satu kes di Kemaman, Marang dan Setiu manakala di Pahang membabitkan Pekan (13), Kuantan (11), Jerantut (7), Bentong (4) serta Temerloh (2).

Selain itu, Sabah juga menunjukkan taburan kes yang besar dengan Tawau merekodkan sebanyak 37 kes, Lahad Datu (32), Kota Kinabalu (17), Kinabatangan (11), Sandakan (8), Tuaran (6), Beaufort (6), Kota Belud (5), Kunak (5), Sipitang (4), Putatan (3) dan satu kes di Papar serta Semporna.

Di Sarawak pula, sebanyak 30 kes di Kuching, Miri (8), Betong (7), Limbang (5), Sarikei (4), Bintulu (4), Mukah (2), Serian (2), Samarahan (2) manakala satu kes di Simunjan, Lawas dan Sibu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 1:34 PM