GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mencatatkan lapan kematian akibat Covid-19 hari ini, jumlah korban tertinggi di negeri ini sejak pandemik itu melanda negara.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di negeri ini kepada 247.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, lima daripada mangsa meninggal dunia di Hospital Kapit, dua di Hospital Sarikei dan seorang di Hospital Saratok.

"Mangsa terdiri daripada empat wanita dan empat lelaki berusia 62 hingga 85 tahun," katanya.

Pada masa sama, Sarawak mencatatkan 612 kes baharu Covid-19 hari ini, yang ketiga tertinggi di negara ini, selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Sejumlah 369 kes daripada jumlah keseluruhan dikesan di Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.

Sibu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 108 kes, Bintulu (103), Miri (86), Kuching (72), Kapit (40), Sarikei (30), Kanowit (26), Mukah (25), Selangau (17), Belaga (14), Samarahan (11), Saratok (10), Pusa (9), Subis (9), Sebauh (8), Sri Aman (7), Pakan (7), Tatau (6), Bukit Mabong (5), Betong (5), Serian (4), Meradong (3), Asajaya (2) dan masing-masing satu kes di Dalat, Lawas, Tebedu, Song serta Daro.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak sejak Mac tahun lalu hingga kini ialah 40,871.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:52 PM