Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP
Agensi

Singapura: Dialek ibu bapa akan disertakan dan dipaparkan pada sijil kelahiran digital yang dikeluarkan mulai 1 September 2022.

Langkah itu dibuat selepas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menerima beberapa pertanyaan mengenai pengecualian maklumat berkenaan sebelum ini.

Dialek ibu bapa adalah antara butiran yang tidak disertakan ketika sijil kelahiran digital diperkenalkan kerana ia "tidak diperlukan bagi penggubalan dasar dan keperluan pentadbiran yang lain", menurut ICA.

Butiran lain yang tidak disertakan termasuk negara kelahiran ibu bapa, alamat ibu, pendaftaran tempat kelahiran anak dan satu seksyen yang diberi nama "Butiran Pemberi Maklumat".

Ini dilakukan "untuk memudahkan proses pendaftaran dan bagi mengurangkan bilangan ruang butiran", dedah ICA.

Butiran mengenai dialek ibu bapa akan terus didaftarkan oleh ICA dan butiran itu juga boleh didapati di Singpass.

"Oleh itu, kami telah memutuskan untuk memasukkan dialek ibu bapa ke dalam sijil kelahiran digital yang dikeluarkan mulai 1 September 2022," kata ICA.

Bagi individu di bawah umur 21 tahun, maklumat dialek juga boleh didapati dalam profil Singpass ibu bapa mereka, di bawah tab "Keluarga".

Semasa lahir, meletakkan maklumat kumpulan dialek bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak.

Maklumat ini direkodkan dalam pangkalan data pendaftaran negara, lapor CNA.

Dialek yang didaftarkan dengan kerajaan boleh ditukar oleh kanak-kanak atau oleh ibu bapa melalui pengisytiharan bertulis kepada ICA.

"Ini bermakna seseorang individu boleh mempunyai dialek berdaftar yang berbeza daripada bapanya, atau kedua-dua ibu bapanya," kata ICA.

Ini telah menjadi amalan di Singapura sejak tahun 1970-an.

"Memandangkan terdapat kaum di Singapura yang tidak mempunyai kumpulan dialek, individu dibenarkan mendaftarkan bahasa/dialek yang mereka pertuturkan, bukannya dialek mereka mengikut keturunan," kata ICA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 3:20 PM