GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bernama-Xinhua

Singapura: Pihak berkuasa Singapura menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 4.7 kilogram (kg) heroin dalam sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos 2003.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 22 tahun yang menaiki kereta terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Kenyataan bertarikh 8 Ogos yang disiarkan di laman sesawang ICA menjelaskan, pegawai menjumpai beg kanvas dalam but kereta ketika melakukan pemeriksaan ke atas kereta itu.

"Bungkusan dipercayai dadah ditemukan dan pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu. 10 bungkusan mengandungi heroin dengan berat keseluruhan kira-kira 4,723g ditemukan di dalam beg berkenaan," menurut kenyataan itu.

Nilai rampasan 4,723 gram heroin dianggarkan berjumlah lebih 331,400 dolar Singapura (kira-kira RM331,400) , cukup untuk kegunaan kira-kira 2,240 penagih selama seminggu.

"Siasatan mengenai kejadian masih diteruskan," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 5:53 PM