PASPORT Singapura.
PASPORT Singapura.
BERNAMA

Singapura: Pihak berkuasa Singapura membatalkan pasport seorang warganya yang melanggar notis duduk di rumah susulan wabak Covid-19.

Lelaki berusia 53 tahun itu diberi notis pada 19 Mac sejurus tiba di Singapura menerusi terminal feri Tanah Merah selepas ke Batam, Indonesia pada 3 Mac, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu.

Singapura mengumumkan berkuat kuasa 16 Mac, semua pelancong yang masuk ke republik itu selepas mengembara ke mana-mana negara Asean lain dalam tempoh 14 hari sebelumnya mesti kekal di rumah mereka untuk tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan ke Indonesia pada hari sama meskipun pegawai ICA memberi amaran kepadanya bahawa dia akan dianggap melanggar notis untuk duduk di rumah dan berdepan penalti, kata ICA.

Pada 24 Mac, beliau kembali ke Singapura melalui Pusat Pelayaran Singapura, dan diberikan notis duduk di rumah 14 hari yang kedua, berkuat kuasa sehingga 7 April.

Menurut ICA, lelaki itu menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dengan tidak mematuhi perintah yang pertama agar duduk di rumah.

Justeru, pasportnya dibatalkan dan kes itu dirujuk ke Kementerian Kesihatan untuk siasatan.

Ia menyebut bahawa pesalah juga boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dan denda sehingga S$10,000 (kira-kira RM30,300) atau sehingga enam bulan penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berkuat kuasa 27 Mac, semua pelancong termasuk penduduk Singapura, jika memasuki Singapura perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan dan perjalanan sebelum mendapatkan pelepasan Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 1:54 PM