MENARA jam Makkah dilihat dari Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP.
MENARA jam Makkah dilihat dari Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP.
PEKERJA membersihkan kiswah iaitu kain yang menutupi Kaabah. FOTO AFP
PEKERJA membersihkan kiswah iaitu kain yang menutupi Kaabah. FOTO AFP
UMAT Islam menunaikan solat di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
UMAT Islam menunaikan solat di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Arab Saudi bakal menerima hampir tiga juta jemaah umrah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, sepanjang Ramadan ini, lapor The National.

Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Dr Abdulrahman Al Sudais berkata, pelan operasi terbesar itu akan memberi tumpuan termasuk kedatangan jemaah di perkarangan dua masjid suci itu, tawaf di Masjidilharam, berjalan antara bukit Safa dan Marwah, arah kiblat dan ruang untuk beriktikaf.

Beliau berkata, sistem bunyi Kaabah dan peralatan siaran langsung azan sudah siap diselenggara.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Kesedaran Digital Ismail Abed Al Awaidi berkata, perkhidmatan pendidikan dan program Ramadan juga disediakan.

Perkhidmatan untuk jemaah haji wanita juga disediakan sepanjang Ramadan ini, kata Penasihat dan Timbalan Presiden Hal Ehwal Pembangunan Wanita Masjidilharam, Dr Al Anoud Al Abboud.

Katanya, agensi itu bertanggungjawab terhadap kebersihan, keselamatan dan keselesaan kawasan solat, penyediaan air zamzam dan rancangan pembangunan perkhidmatan wanita di Masjidilharam.

Sementara itu, Setiausaha Kompleks Raja Abdulaziz, Amjad Al Hazmi berkata, kiswah akan diperiksa setiap hari dan penyelenggaraan dilakukan oleh pakar, jika diperlukan.

Meja berbuka puasa dan iktikaf untuk jemaah menghabiskan masa lama di masjid akan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Selain itu, hidangan berbuka puasa percuma turut disediakan termasuk makanan kering untuk jemaah.

Hanya jemaah mempunyai permit sah yang dikeluarkan melalui aplikasi Eatmarna (kini dipanggil Nusuk) dibenarkan menunaikan umrah.

Pada minggu lalu, Al Sudais mengumumkan senarai imam solat tarawih pada bulan Ramadan tahun ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan puasa akan disambut pada esok (Khamis).

Ia selepas jawatankuasa pemerhati tidak dapat melihat anak bulan pada Selasa lalu, yang bermakna bulan suci itu tidak akan bermula sebelum Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 11:42 AM