Ahli keluarga tahanan menanti di hadapan penjara Insein di Yangon. - FOTO AFP
Ahli keluarga tahanan menanti di hadapan penjara Insein di Yangon. - FOTO AFP
AFP

Yangon: Junta Myanmar akan membebaskan lebih 1,600 tahanan dari penjara di seluruh negara hari ini sempena tahun baru dalam kalendar Buddha.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada mereka yang diampunkan itu adalah penunjuk perasaan atau penjenayah biasa.

Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak pemerintah Aung San Suu Kyi digulingkan yang mencetuskan bantahan besar-besaran dengan tindakan keganasan turut menyebabkan ramai penduduk terkorban.

Saluran televisyen negara mengumumkan sejumlah 1,619 banduan, termasuk 42 warga asing "diberi pengampunan" dan akan dibebaskan sempena tahun baru.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada penunjuk perasaan antijunta atau wartawan yang dipenjarakan kerana membuat liputan rampasan kuasa itu adalah antara mereka yang dibebaskan.

Junta juga tidak menyebut mengenai ahli ekonomi Australia, Sean Turnell, yang juga bekas penasihat Suu Kyi yang ditahan sebaik berlaku rampasan kuasa.

Dia kini dibicarakan atas dakwaan melanggar akta maklumat rahsia yang membawa hukuman penjara 14 tahun.

Orang ramai menanti di luar penjara Insein mengharapkan ahli keluarga mereka dibebaskan. - FOTO Reuters
Orang ramai menanti di luar penjara Insein mengharapkan ahli keluarga mereka dibebaskan. - FOTO Reuters

Pada pagi Ahad, lebih 100 orang berkumpul di luar penjara Insein di Yangon dengan harapan dapat dipertemukan semula dengan orang tersayang, kata wartawan AFP.

Antaranya ialah seorang wanita menunggu anak saudaranya yang berusia 19 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana menghasut tentera.

"Dia masih muda, dan dia mungkin mempunyai perasaan untuk melawan," katanya, enggan memberikan namanya.

"Saya harap semua tahanan muda akan dibebaskan termasuk anak saudara saya. Mereka semua tidak bersalah."

Seorang lagi wanita yang menunggu di luar penjara berkata dia berharap bapa saudaranya yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Mac kerana aktiviti politiknya, akan dibebaskan.

"Saya datang ke sini kerana saya menjangkakan dia akan menjadi antara banduan yang mendapat pengampunan," katanya.

Kebiasaannya Myanmar memberikan pengampunan tahunan kepada ribuan banduan untuk memperingati Tahun Baru Buddha tradisional yang pada tahun sebelumnya disambut meriah dengan pesta air.

Bagaimanapun, disebabkan tindakan keras tentera junta terhadap rakyat, kebanyakan jalan di bandar utama sunyi sebagai bantahan terhadap pemerintahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 5:12 PM