Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Reuters

Tashkent: Sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak Uzbekistan maut selepas dipercayai mengambil sirap ubat keluaran sebuah farmaseutikal India.

Kementerian kesihatan negara itu berkata, 18 daripada 21 kanak-kanak mengambil sirap Doc-1 Max, sebelum mengalami sindrom respiratori akut dan meninggal dunia.

Mengikut laman web syarikat berkenaan, ubat itu dipasarkan sebagai rawatan untuk gejala selesema.

Ia didakwa mengandungi Ethylene Glycol yang menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluar kelmarin, adalah bahan toksik.

Turut dilapor bahawa kanak-kanak diberikan ubat sirap itu tanpa preskripsi doktor, sama ada oleh ibu bapa atau atas nasihat ahli farmasi.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada kesemua mereka meminum ubat daripada kumpulan keluaran sama atau mengambil lebih daripada dos standard atau kedua-duanya.

Susulan kejadian, Kementerian Kesihatan Uzbekistan memecat enam pekerja kerana cuai selepas tidak menganalisis kematian dengan tepat dan tidak mengambil langkah yang diperlukan.

Tindakan tatatertib juga dikenakan ke atas 'pakar', namun tidak menyatakan peranan pakar itu.

Semua ubat sirap dan pil Doc-1 Max yang diimport Quramax Medical LCC kini ditarik balik daripada semua farmasi tempatan.

Sementara itu, Marion Biotech selaku farmaseutikal yang mengeluarkan sirap ubat itu, mahupun Kementerian Kesihatan India masih belum mengulas pertanyaan Reuters berhubung perkara berkenaan.

Sumber kerajaan India bagaimanapun berkata, kementerian kesihatannya sedang meneliti dakwaan berkenaan.

India pada Selasa, menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa kilang ubat di seluruh negara untuk memastikan pematuhan standard kualiti yang tinggi.

Tragedi di Uzbekistan itu menyerupai kejadian di Gambia, yang mana sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak meninggal dunia kerana meminum sirap ubat batuk dan selesema yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals Ltd.

Kerajaan India dan syarikat terbabit menafikan ubat berkenaan menjadi punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 12:49 PM