Foto hiasan.
Foto hiasan.
AFP

Jakarta: Kerajaan Indonesia mengumumkan pengharaman semua sirap, preskripsi ubat cecair dan penjualan di kaunter susulan kematian hampir 100 kanak-kanak akibat kecederaan akut buah pinggang (AKI) tahun ini.

Larangan berkenaan dibuat ketika pihak berkuasa kesihatan negara di Asia Tenggara itu menyiasat peningkatan yang tidak dapat dijelaskan sejak Januari berhubung jumlah kematian kanak-kanak akibat penyakit berkenaan.

Ia berlaku selepas hampir 70 kanak-kanak meninggal dunia di Gambia awal tahun ini yang turut berpunca daripada AKI, dalam skandal yang dikaitkan dengan empat ubat batuk buatan India.

Agensi makanan dan ubat-ubatan Indonesia berkata, sirap yang diimport ke Gambia tidak terdapat di negara berkenaan.

"Sehingga hari ini, kami telah menerima 206 kes yang dilaporkan dari 20 wilayah dengan 99 kematian.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian meminta semua petugas kesihatan di fasiliti kesihatan tidak memberi ubat cecair atau sirap buat sementara waktu.

"Kami juga meminta kedai ubat menghentikan sementara penjualan ubat cecair bukan preskripsi atau sirap sehingga siasatan selesai," kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Syahril Mansyur pada sidang akhbar.

Katanya, peningkatan kes AKI bermula pada Januari tahun ini dan semakin meningkat sejak akhir Ogos.

Beliau turut berkata, siasatan telah dilancarkan pada minggu lalu.

"Sejak akhir Ogos lalu, kementerian dan persatuan pakar kanak-kanak telah menerima peningkatan laporan AKI. Jumlah peningkatannya adalah ketara," katanya.

Kementerian itu berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan di Indonesia membabitkan kanak-kanak terutama di bawah umur lima tahun.

Sebelum peningkatan kes yang dilaporkan baru-baru ini, kementerian itu hanya merekodkan satu atau dua kes AKI sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 6:27 PM