GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Jakarta: Lebih 10 keluarga mangsa yang cedera atau meninggal dunia akibat minum ubat batuk sirap yang tercemar mengambil tindakan saman terhadap kerajaan dan syarikat pembekal ubat itu.

Tuntutan mahkamah itu dibuat kepada Kementerian Kesihatan, Agensi Makanan dan Ubat Negara (BPOM) dan tujuh syarikat yang terbabit dalam penjualan ubat berkenaan.

Ubat berkenaan didakwa mengandungi jumlah berlebihan dua sebatian yang digunakan dalam produk industri seperti anti sejuk beku.

Peguam yang mewakili ahli keluarga mangsa, Awan Puryadi berkata, mereka mengambil tindakan undang-undang itu kerana pihak berkuasa gagal menghalang penjualan ubat-ubatan berbahaya sekali gus mengakibatkan kematian atau kecederaan kepada kanak-kanak.

"Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab. Mereka sangat kecewa dengan keadaan ini.

"Kami menuntut...pembekal ubat, farmasi, BPOM dan Kementerian Kesihatan semua bertanggungjawab," katanya semalam mengenai tuntutan mahkamah yang difailkan 18 November lalu.

Peguam itu juga berkata, dua keluarga yang tersenarai dalam tuntutan mahkamah sedang menjalankan tindakan undang-undang bagi mewakili 12 keluarga.

"Keluarga mangsa menuntut pampasan kira-kira AS$127,049 (RM558,570.93) untuk setiap mangsa yang terbunuh.

"Tuntutan untuk mangsa yang mengalami kecederaan ialah AS$63,524 (RM279,283.27). Mungkin lebih ramai lagi akan menyertai mereka pada masa akan datang," katanya.

Indonesia menyaksikan peningkatan kes kecederaan buah pinggang akut sejak Ogos, dengan kematian sekurang-kurangnya 199 orang dengan kebanyakannya kanak-kanak.

Ia menyebabkan siasatan dan larangan ke atas beberapa penjualan ubat cecair itu.

Polis melancarkan siasatan ke atas sekurang-kurangnya tiga syarikat yang berlesen untuk membekukan pengeluaran ubat sirap itu buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Afrika Barat, Gambia merekodkan 70 kematian kanak-kanak pada Oktober lalu yang disyaki berpunca daripada ubat sirap yang diimport.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pihaknya menemukan jumlah dietilena glikol dan etilena glikol yang tidak boleh diterima dalam empat sirap batuk buatan India dan memberi amaran ia boleh mendatangkan risiko kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:56 PM