Foto hiasan AP
Foto hiasan AP
AFP

Tokyo: Jepun akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat, kata Perdana Menterinya, Fumio Kishida.

Tindakan itu diambil selepas Beijing mengumumkan ia akan menamatkan syarat menjalani kuarantin.

Tokyo telah melonggarkan sekatan ke atas pelancong dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan langkah itu bermakna hanya pelancong dari China, perlu mengambil ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan, selain mereka yang bergejala.

Kishida hari ini berkata, keputusan itu diambil kerana 'terdapat maklumat mengenai jangkitan yang merebak dengan pantas' di China.

"Sukar untuk memastikan keadaan yang tepat berikutan percanggahan besar di antara pihak berkuasa pusat dan tempatan serta di antara kerajaan dan sektor swasta.

"Ini menyebabkan kebimbangan yang semakin meningkat di Jepun," katanya kepada pemberita.

Langkah itu dibuat selepas Beijing mengumumkan bahawa pelancong yang tiba dari luar negara tidak lagi menjalani kuarantin mulai 8 Januari selepas tiga tahun menetapkan syarat kawalan pandemik yang ketat.

China mengambil tindakan drastik dengan menarik balik pelbagai sekatan Covid-19 yang tegas selepas protes di seluruh negara dan lonjakan jangkitan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Kishida berkata, pengembara dari tanah besar China, atau yang telah berada di sana dalam tempoh tujuh hari, dikehendaki membuat ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan di Jepun mulai Jumaat ini.

Mereka yang disahkan positif Covid-19, dikehendaki menjalani kuarantin di fasiliti yang disediakan.

Tambahnya, Tokyo akan turut mengehadkan penerbangan dari China.

Untuk rekod, Jepun membuka sepenuhnya negara itu bagi aktiviti pelancongan pada Oktober lalu selepas lebih dua setengah tahun melakukan sekatan bagi mengekang Covid-19.

Pada November, 934,500 orang pelancong melawat Jepun iaitu sekitar 40 peratus daripada angka pada bulan yang sama pada 2019.

Pada 2019, pelancong dari tanah besar China merangkumi 30 peratus daripada pelancong yang masuk ke negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 5:23 PM