AFP

Beijing: China akan membatalkan kuarantin mandatori semasa ketibaan sebagai satu kelonggaran sejak pandemik Covid-19 melanda.

Selepas banyak negara bebas daripada wabak itu, China kini mengalami lonjakan jangkitan yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas menarik balik sekatan yang menjejaskan ekonomi dan mencetuskan protes besar-besaran.

Dalam menamatkan kawalan sempadan yang ketat selama hampir tiga tahun, Beijing berkata ia akan membatalkan kuarantin mandatori untuk pelancong luar negara.

Sejak Mac 2020, semua penumpang yang tiba di China terpaksa menjalani kuarantin berpusat mandatori. Ia kemudian menurun daripada tiga minggu kepada satu minggu pada musim panas ini, dan kepada lima hari pada bulan lepas.

Tetapi di bawah peraturan baharu yang akan berkuat kuasa 8 Januari, apabila Covid-19 diturunkan kepada Kelas B daripada Kelas A, mereka tidak perlu berbuat demikian lagi.

"Menurut undang-undang kuarantin kesihatan kebangsaan, langkah kuarantin penyakit berjangkit tidak akan diambil terhadap pengembara dan barangan yang masuk," kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC).

Pengumuman itu mungkin akan disambut gembira warga China dan pengembara yang tidak dapat pulang dan berjumpa saudara mara kerana wabak itu.

Tetapi ia berlaku ketika China berdepan gelombang kes yang dikatakan boleh membunuh kira-kira sejuta orang dalam beberapa bulan akan datang.

Ramai yang bergelut dengan kekurangan ubat, manakala kemudahan perubatan kecemasan tegang dengan kemasukan pesakit warga emas yang kurang vaksin.

"Pada masa ini, pencegahan dan kawalan Covid-19 di China menghadapi situasi baharu dan tugas baharu," kata Presiden Xi Jinpin.

"Kita harus melancarkan kempen kesihatan patriotik dengan cara yang lebih bersasar, memperkukuh pertahanan komuniti untuk pencegahan dan kawalan wabak dan melindungi nyawa, keselamatan dan kesihatan orang ramai dengan berkesan," katanya menurut penyiar CCTV negeri.

Hospital dan krematorium di seluruh negara dipenuhi pesakit dan mangsa wabak, manakala NHC pada Ahad mengumumkan ia akan berhenti menerbitkan statistik jangkitan dan kematian setiap hari di seluruh negara.

GAMBAR fail pada Januari lalu menunjukkan kakitangan mengenakan PPE di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai. FOTO AFP.
GAMBAR fail pada Januari lalu menunjukkan kakitangan mengenakan PPE di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai. FOTO AFP.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pegawai kesihatan di wilayah pesisir pantai Zhejiang menganggarkan satu juta penduduk dijangkiti setiap hari.

Bandar pesisir pantai Qingdao juga meramalkan kira-kira 500,000 jangkitan harian baharu manakala selatan Dongguan meramalkan sehingga 300,000 orang akan dijangkiti.

Tinjauan tidak rasmi menunjukkan bahawa gelombang itu mungkin telah memuncak di beberapa bandar utama seperti Beijing dan Chongqing.

Hanya enam kematian dilaporkan secara rasmi sejak Beijing membatalkan sebahagian besar sekatannya awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 9:47 AM