ASAP dari hotel berkenaan. FOTO EPA
ASAP dari hotel berkenaan. FOTO EPA
AFP

Kabul: Lelaki bersenjata menyerang sebuah hotel yang popular dengan ahli perniagaan China di ibu negara Afghanistan, pada Isnin, dengan saksi melaporkan berlaku beberapa letupan dan letusan tembakan.

Tiga individu maut adalah antara 21 mangsa yang dibawa ke hospital pada Isnin, berikutan serangan itu.

"Setakat ini, kami menerima 21 mangsa - tiga sudah meninggal dunia semasa ketibaan," ciap Emergency, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Itali yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul.

Dua penduduk asing cedera apabila mereka melompat keluar dari tingkap untuk melarikan diri, kata jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid.

Khalid Zadran, jurucakap yang dilantik oleh Taliban bagi ketua polis Kabul berkata, serangan itu berlangsung selama beberapa jam.

Asap kelihatan dari Hotel Kabul Longan ketika pasukan keselamatan Taliban bergegas ke tapak dan menutup kawasan kejiranan.

Jurucakap polis Kabul memberitahu pemberita bahawa serangan itu dilakukan kerana perbuatan khianat.

Wartawan AFP berhampiran tempat kejadian di Shahr-e-naw iaitu kejiranan komersial dan kediaman, mendengar beberapa letupan dan tembakan, manakala media Afghanistan melaporkan butiran sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 10:25 AM