PESAWAT Singapore Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Singapore Airlines. FOTO fail AFP
AFP

Singapura: Jet pejuang Singapura bergegas untuk mengiringi sebuah pesawat Singapore Airlines, pada Rabu, selepas seorang penumpang membuat dakwaan ada bom di dalam begnya dan menyerang kru, kata polis dalam satu kenyataan.

Polis dimaklumkan mengenai ancaman bom di dalam pesawat SQ33 Singapore Airlines yang dalam perjalanan dari San Francisco, pada 2.40 pagi Rabu.

Pesawat itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, kira-kira tiga jam kemudian, selepas diiringi oleh jet pejuang.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa lelaki berusia 37 tahun mendakwa ada bom di dalam beg yang dibawanya dan menyerang kru," kata kenyataan polis.

Lelaki itu ditahan kerana melakukan ancaman palsu mengenai keganasan dan disyaki menyalahgunakan dadah.

"Singapore Airlines boleh mengesahkan bahawa penumpang itu memukul kru kabin dan membuat ancaman bom ketika dalam pesawat SQ33," menurut jurucakap syarikat penerbangan itu.

Difahamkan, penumpang dan kru dibenarkan keluar seperti biasa selepas pasukan keselamatan selesai melakukan pemeriksaan di dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 3:33 PM