Reuters

Portland: Penerbangan Alaska Airlines yang dalam perjalanan ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS) terpaksa dilencongkan ke Oregon selepas juruterbangnya yang tidak bertugas cuba mematikan enjin pesawat.

Joseph David Emerson yang ditahan Ahad lalu, didakwa terhadap 83 cubaan membunuh, 83 tuduhan membahayakan orang lain secara melulu dan satu pertuduhan mendatangkan bahaya terhadap pesawat, menurut pejabat pendakwa raya yang dipetik The Straits Times.

Pendakwaan rasmi ke atas Emerson, 44, dijangka difailkan pada Isnin di mahkamah daerah Multnomah di Portland, di mana kesnya yang dijadual pada petang untuk mengemuka rayuan, kata jurucakap pejabat berkenaan.

Sementara itu, Kumpulan Alaska Air, subsidiari bagi Horizon Air berkata, pesawat Alaska Airlines 2059 yang berlepas dari Everett, Washington pada Ahad, sepatutnya mendarat di San Francisco tetapi dilencongkan ke Portland kerana ancaman keselamatan.

Menurutnya, Emerson menyertai Alaska Air sebagai pegawai pertama Horizon pada Ogos 2001 dan pada 2012, beliau meninggalkan Horizon untuk menyertai Virgin America sebagai juruterbang.

Emerson kemudian menjadi pegawai pertama Alaska Airlines selepas pemerolehan Virgin America oleh Alaska Air pada 2016 dan menjadi kapten Alaska Airlines pada 2019.

"Tidak ada satu pun pensijilan beliau dinafikan, digantung atau dibatalkan," kata Alaska Air.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberitahu syarikat penerbangan AS dalam notis yang dilihat oleh Reuters bahawa juruterbang tidak bertugas itu yang terbang sebagai 'penumpang sah' berusaha untuk melumpuhkan enjin jet berkembar Embraer 175 dengan cuba mengaktifkan sistem pencegah kebakaran enjin ketika pesawat berada pada ketinggian 'cruise'.

"Kru berjaya menggagalkan tindakan suspek dan dia dikeluarkan dari kokpit," kata notis FAA.

PESAWAT Alaska Airlines. FOTO Fail Reuters.
PESAWAT Alaska Airlines. FOTO Fail Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:11 PM