Agensi

Bangkok: Sekali imbas, rupanya saling tidak tumpah seperti pelakon hebat Vin Diesel.

Kelebihan itulah menjadikan Arthid Duangsri, 38, dari Chiang Rai, Thailand, hidup glamor selama hampir sedekad selepas tampil dengan perwatakan menyerupai pelakon tersohor itu, lapor Oddity Central.

Digelar Vin Diesel Thailand, dia dilihat memandu kereta ikonik hitam di Chiang Rai, menyamai peranan Dominic Toretto dalam filem Fast and Furious.

Dia bukan saja menyamar sebagai Vin Diesel apabila keluar di khalayak ramai, dia sebenarnya hidup sebagai Vin Diesel versi Thailand sepenuh masa.

Melihat fotonya sejak 2014, tentu kita tidak mengenalinya sebelum seorang rakan memaklumkan persamaannya dengan pelakon itu.

Pernah menjadi penari dalam kumpulan tempatan, Arthid jauh lebih kurus berbanding hari ini, berambut panjang dan bermisai.

Kemudian seorang kawan memberitahunya bahawa jika dia memotong rambutnya, dia akan kelihatan seperti Vin Diesel, dan lelaki itu memutuskan untuk mencubanya.

Selepas mencukur kepalanya, Arthid menyedari bahawa dia tidak boleh benar-benar mencontohi Dominic Toretto tanpa pergi ke gimnasium.

Dia mula bersenam setiap hari sehingga boleh memakai baju ketat seperti karakter Toretto, malah mula mengubah suai Toyota Mark II 1970 bersama abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 6:15 AM