SEBELAS remaja pemain bola sepak bergambar sebelum memasuki gua di Chiang Rai, utara Thailand. - Agensi
SEBELAS remaja pemain bola sepak bergambar sebelum memasuki gua di Chiang Rai, utara Thailand. - Agensi
Agensi

Bangkok: Pihak berkuasa menggerakkan ratusan anggota penyelamat termasuk penyelam tentera laut bagi mencari 13 pemain sepasukan bola sepak bawah remaja yang dipercayai terperangkap dalam kompleks gua di Chiang Rai, Thailand, akibat banjir.

Basikal dan kasut bola remaja berusia bawah 16 tahun itu ditemui di depan gua Tham Luang, di wilayah utara Thailand itu selepas dilaporkan hilang bersama jurulatih mereka sejak Sabtu lalu.

Mereka dipercayai terperangkap selepas masuk ke dalam gua berikutan air naik mendadak di pintu masuk gua tumpuan pelancong di taman negara yang bersempadan dengan Myanmar itu selepas hujan lebat.

Anggota pasukan penyelamat berkumpul di depan gua. - Reuters
Anggota pasukan penyelamat berkumpul di depan gua. - Reuters

Menurut AFP, Gabenor Wilayah Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn berkata, pihaknya meninjau seluruh kawasan mencari kemungkinan ada laluan masuk lain ke gua berkenaan.

“Kami membuat persediaan sepenuhnya, termasuk pam air jika paras air masih tidak turun. Usaha mencari dilakukan 24 jam,” katanya.

Seorang pakar yang mengkaji gua berkenaan sejak enam tahun lalu, memberitahu hanya ada satu pintu masuk yang kini ditenggelami air.

Remaja terbabit berusia antara 11 hingga 16 tahun, ke gua berkenaan selepas latihan bola sepak. Ibu seorang mangsa menghubungi pihak berkuasa selepas anaknya tidak pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 2:00 AM