Keadaan jalan raya yang diselubungi pasir di Kuwait City, Kuwait. - FOTO AFP
Keadaan jalan raya yang diselubungi pasir di Kuwait City, Kuwait. - FOTO AFP
Agensi

Tehran: Amaran ribut pasir dikeluarkan di seluruh rantau Timur Tengah, sepanjang minggu ini.

Di Iran, banyak sekolah dan pejabat kerajaan ditutup dengan pihak berkuasa menyeru orang ramai agar kekal di rumah disebabkan kadar pencemaran udara yang berbahaya untuk semua peringkat usia.

Tehran yang dikategorikan antara bandar yang paling tercemar di dunia, bakal diburukkan lagi oleh ribut pasir yang tiba dari Iraq dan Syria.

Di Arab Saudi, jabatan kaji cuaca juga mengeluarkan amaran ribut pasir di ibu kota Riyadh, selain di Madinah, Yanbu dan Al Ula.

Bulan ini saja, lebih 1,200 orang dirawat di hospital di Saudi, akibat sesak nafas.

Ribut pasir turut menjejaskan Iraq, Syria dan Kuwait sejak sebulan lalu.

Satu kematian akibat ribut pasir turut dilaporkan di Iraq manakala tiga orang maut di Syria.

Al-Jazeera melaporkan, pihak berkuasa kesihatan Iraq menambah stok tong oksigen khususnya di kawasan yang terdedah dengan kejadian ribut pasir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 6:02 PM