Dadah yang dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands. FOTO Ihsan CNB.
Dadah yang dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands. FOTO Ihsan CNB.
Agensi

Singapura: Tiga lelaki Malaysia ditahan pihak berkuasa Singapura, susulan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu lalu menemui dadah bernilai $1.3 juta (lebih RM4.1 juta).

Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan tiga lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 28 tahun.

Memetik laporan The Straits Times, suspek pertama berusia 28 tahun ditahan pada Rabu ketika cuba memasuki Singapura dengan kereta bernombor pendaftaran Malaysia.

Ketika pemeriksaan rutin di laluan pelepasan imigresen bagi Zon Ketibaan Kereta, pegawai ICA menemui bungkusan yang mengandungi 17,704 gram (g) heroin, 261g methamphetamine atau 'Ice' dan dua gram pil ekstasi di but kereta.

Pemandu kereta itu segera dirujuk kepada CNB untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dua lagi suspek diberkas pagi semalam di sekitar Bedok North Street 1, hasil operasi susulan oleh CNB.

Kedua-duanya dipercayai pihak yang bakal menerima dadah berkenaan.

Pihak berkuasa memaklumkan, dadah yang dirampas boleh menampung kegunaan 8,439 penagih heroin dan 150 penagih Ice untuk seminggu.

Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan. Tertakluk undang-undang, individu yang didapati bersalah terhadap penyeludupan dadah berdepan hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 10:58 PM