PESAWAT Airbus A350-1000. FOTO AFP
PESAWAT Airbus A350-1000. FOTO AFP
AFP

Sydney: Qantas Airways, hari ini, mengumumkan akan melancarkan perkhidmatan baharu, penerbangan komersial tanpa henti paling jauh di dunia.

Produk baharu itu akan menawarkan penumpang pengalaman perjalanan dari Sydney ke London selam 19 jam tanpa henti menjelang akhir tahun 2025.

Selepas lima tahun perancangan, syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya memesan 12 pesawat Airbus A350-1000 untuk mengendalikan penerbangan dinamakan Project Sunrise itu ke bandar terkemuka termasuk London dan New York.

Pengerusi Qantas, Alan Joyce berkata, penerbangan tanpa henti itu akan bermula dari Sydney dengan perjalanan jarak jauh sebelum memperluaskannya kepada Melbourne.

Katanya, pesawat A350 baharu itu akan memuatkan kapasiti 238 penumpang dengan perkhidmatan kelas pertama menawarkan katil berasingan, kerusi malas dan almari pakaian.

"A350 dan Project Sunrise akan menjadikan mana-mana bandar hanya satu penerbangan dari Australia.

"Seperti yang anda jangkakan, kabin itu direka khas untuk keselesaan maksimum untuk penerbangan jarak jauh," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menempah 40 pesawat A321 XLR dan A220 dari Airbus serta pilihan membeli 94 lagi pesawat ini sehingga akhir 2034.

"A320 dan A220 akan menjadi tulang belakang penerbangan domestik kami untuk 20 tahun akan datang sekali gus membantu memastikan negara ini (ekonomi) bergerak.

"Pesawat baharu itu akan mengurangkan pelepasan sekurang-kurangnya 15 peratus jika menggunakan bahan api fosil dan lebih banyak lagi jika menggunakan bahan api penerbangan yang mampan, katanya.

Qantas mengendalikan penyelidikan penerbangan untuk laluan jarak jauh pada 2019, termasuk percubaan perjalanan London ke Sydney sejauh 17,800 kilometer yang mengambil masa 19 jam dan 19 minit.

Percubaan penerbangan New York ke Sydney pada tahun sama membabitkan 16,200 kilometer dan mengambil masa lebih 19 jam.

Qantas sebelum ini sudah pun mengendalikan perjalanan Perth ke London, sejauh 14,498 kilometer, yang mengambil masa 17 jam.

Ketika ini, Singapore Airlines mengendalikan penerbangan komersial tanpa henti paling jauh di dunia dari Singapura ke New York, membabitkan 16,700 kilometer dalam masa kurang 19 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 1:03 PM