PENERBANGAN dari Brisbane akan menawarkan pengalaman menarik.
PENERBANGAN dari Brisbane akan menawarkan pengalaman menarik.
Agensi

Sydney: Bagi merancakkan industri pelancongan domestik, syarikat penerbangan utama Australia, Qantas menawarkan 'penerbangan misteri' kepada penumpang.

Penumpang hanya perlu menempah satu daripada tiga destinasi dan 'tuah' mereka akan ditentukan syarikat penerbangan.

Perjalanan sehari yang mula dijual semalam akan berlepas dari Brisbane, Sydney dan Melbourne, pada 27 Mac, 18 April dan 1 Mei ini.

Pesawat Boeing 737 akan digunakan dengan dihadkan kepada 120 penumpang untuk setiap penerbangan yang mengambil masa dua jam itu.

Penumpang akan menikmati sarapan di ruang rehat Qantas pada 7 pagi sebelum menamatkan perjalanan pada lewat petang.

Penumpang tidak akan mengetahui destinasi mereka sehingga pesawat mula terbang rendah di lokasi misteri.

Namun, menerusi skrin di bahagian belakang tempat duduk, penumpang berpeluang meneka destinasi.

Pesawat itu juga akan terbang rendah di beberapa kawasan tarikan utama sepanjang perjalanan.

Penerbangan dari Brisbane akan menawarkan pengalaman menarik untuk mereka yang gemar menikmati hidangan gourmet dan wain serta pemandangan menakjubkan.

Bagi penerbangan dari Sydney, penumpang akan berpeluang merasai makan tengah hari di pantai di lokasi beriklim tropika.

Penerbangan dari Melbourne pula sesuai untuk peminat aktiviti luar, makanan, wain dan menggemari pasar produk pertanian.

Pakej berkenaan bermula dari harga 737 dolar Australia (kira-kira RM2,327) untuk kelas ekonomi, manakala 1,570 dolar Australia (kira-kira RM4,950) untuk kelas perniagaan.

"Penerbangan misteri ini adalah inisiatif untuk membantu menyokong pelancongan tempatan yang terkesan dengan beberapa sekatan," kata Ketua Pegawai Pelanggan Kumpulan Qantas, Stephanie Tully.

Australia kini masih menutup sempadan antarabangsa bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara itu yang sudah merekodkan 28,996 kes dengan 909 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:30 AM