SUASANA lengang  dan sunyi kelihatan di Hatyai. FOTO Bernama
SUASANA lengang dan sunyi kelihatan di Hatyai. FOTO Bernama
BERNAMA

Songkhla: Setiap tahun, sempena sambutan Tahun Baru Thailand, Songkran, ribuan pelancong akan membanjiri Hatyai, sebuah bandar raya yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia.

Namun, tahun ini, Hatyai yang menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai rakyat Malaysia dan Singapura lengang dan sunyi walaupun pintu sempadan darat Sadao-Bukit Kayu Hitam dibuka kepada pengembara pelancongan, bermula 1 April.

Pengusaha industri pelancongan di Hatyai mengeluh apabila pembukaan pintu sempadan darat gagal menarik pengunjung khususnya ketika sambutan Songkran bermula esok hingga 15 April.

Berdasarkan statistik Pusat Kawalan Penyakit di Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla sejak 1 hingga 11 April, seramai 698 rakyat Malaysia memasuki Thailand melalui pintu sempadan darat Sadao-Bukit Kayu Hitam.

Pengusaha sebuah syarikat bas ekspres di Hatyai dikenali sebagai Tony mengadu bahawa jumlah pelancong Malaysia memasuki Thailand tidak ramai berikutan kos yang tinggi termasuk kos menjalani ujian RT-PCR dan pembelian insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$20,000.

"Sebelum pandemik Covid-19, syarikat saya menyediakan 10 bas setiap hari untuk membawa pelancong dari Kuala Lumpur ke Hatyai menjelang Songkran.

"Kini, jumlah penumpang (menggunakan perkhidmatan bas ekspresnya) kira-kira 10 orang sahaja setiap hari yang memasuki Hatyai," katanya kepada Bernama:

Beliau berkata, pelancong terpaksa menanggung bayaran hampir RM800 untuk memasuki Thailand melalui program Test & Go termasuk menjalani ujian RT-PCR dan pembelian insuran perubatan.

"Kos tinggi menyebabkan ramai menangguhkan perjalanan ke Thailand buat masa ini," katanya.

Pada 2019, Thailand mencatat hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pelawat dari Malaysia.

Di Songkhla, dianggarkan kira-kira tiga juta pengunjung berkunjung, 80 peratus terdiri rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 9:29 AM