GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Singapura: Singapura mencatatkan 26,032 kes harian baharu Covid-19 pada Selasa (22 Februari), tertinggi dicatatkan sejak pandemik itu melanda seluruh negara pada Januari 2020.

Republik itu juga melaporkan empat kematian, menurut data Kementerian Kesihatan (MOH) yang disiarkan di laman webnya lewat Selasa.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di pulau itu sebanyak 622,293 kes dan 956 kematian.

Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian meminta kerjasama orang ramai memandangkan hospital, poliklinik dan klinik Pengamal Perubatan Am (GP) kini menjadi amat sibuk, dan petugas kesihatan menghadapi bebanan teruk.

"Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum gelombang jangkitan memuncak dan kembali reda," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian keadaan itu menyebabkan timbul dua masalah dengan satu daripadanya adalah peningkatan permintaan katil di hospital, kebanyakannya untuk rawatan pesakit mempunyai penyakit kronik.

Ini turut menyebabkan peningkatan kapasiti di hospital awam, menempatkan pesakit ke hospital swasta, dan menambah petugas kesihatan dengan SG Healthcare Corps serta medik Angkatan Tentera Singapura (SAF).

"Kami juga menyesuaikan lagi protokol kesihatan untuk membolehkan lebih ramai pesakit menjalani pemulihan di rumah," menurut kenyataan itu.

MOH menggesa majikan tidak memaksa pekerja memberikan sijil perubatan atau memo pemulihan jika mereka disahkan positif Covid-19.

Pekerja yang berisiko rendah dan mempunyai simptom ringan atau sihat dari segi fizikal digalakkan menjalani kuarantin di rumah tanpa perlu ke klinik atau hospital.

Kementerian juga menggalakkan individu supaya tidak tergesa-gesa ke jabatan kecemasan. kecuali jika benar-benar perlu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:08 PM