MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Agensi

Riyadh: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, pada Isnin, mengumumkan semua jemaah umrah yang datang ke Arab Saudi mesti mengemukakan laporan ujian PCR negatif yang diambil tidak melebihi 48 jam sebelum ketibaan.

The National News melaporkan, peraturan itu terpakai kepada semua tanpa mengira status vaksinasi mereka mulai hari ini.

Jemaah perlu menunjukkan bukti mereka sudah divaksin menggunakan aplikasi Tawakkalna untuk memasuki Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Mereka juga perlu menempah slot umrah atau solat menggunakan aplikasi untuk dapat menunaikan solat atau ibadah kerana protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat.

Selain itu, jemaah dikehendaki memakai pelitup muka dan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga keselamatan selaras dengan protokol Covid-19.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri pada hari Ahad memaklumkan semua warga Arab Saudi mesti mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 untuk melakukan perjalanan ke luar negara mulai 9 Februari.

Kementerian itu berkata kes baharu Covid-19 di Arab Saudi terus mencatatkan penurunan di bawah paras 4,000 pada Ahad.

Lebih daripada 58 juta dos vaksin sudah diberikan sehingga kini.

Mengikut peraturan baru, mereka yang disahkan negatif Covid-19 boleh mengambil vaksin penggalak tiga bulan selepas mengambil dos kedua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 9:28 AM