Anggota bomba menyembur cecair disinfektan di stesen kereta api Yangzhou di wilayah Jiangsu, China. - AFP
Anggota bomba menyembur cecair disinfektan di stesen kereta api Yangzhou di wilayah Jiangsu, China. - AFP
AFP

Beijing: China sudah memberikan vaksin penuh kepada lebih satu bilion penduduk atau 71 peratus daripada populasinya.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Mi Feng berkata, berdasarkan angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, 2.16 bilion dos vaksin sudah diberikan di seluruh negara.

Pihak berkuasa kesihatan pada bulan lalu berkata, 890 juta penduduk sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Kerajaan China tidak mengumumkan sasaran liputan vaksinasi, namun ahli virologi terkemuka, Zhong Nanshan berkata, negara berkenaan dijangka mencapai 80 peratus liputan vaksin menjelang akhir tahun ini dan mencapai imuniti kelompok.

China ketika ini bergelut dengan varian Delta di wilayah Fujian di mana hampir 200 individu dijangkiti, sebahagiannya adalah kanak-kanak.

Kluster Fujian adalah rekod tertinggi dicatatkan dalam beberapa minggu selepas negara berkenaan membuat pengumuman bahawa situasi varian Delta berada di bawah kawalan.

Hari ini, China merekodkan 49 kes tempatan dengan majoriti berlaku di Fujian.

Pihak berkuasa berkata, pesakit utama yang disyaki membawa virus berkenaan baru pulang dari Singapura ke bandar Putian, dan menunjukkan gejala selepas selesai menjalani kuarantin 14 hari serta disahkan negatif.

Anaknya berusia 12 tahun dan rakan sekelas adalah antara pesakit awal dikesan minggu lalu, selepas semester baru persekolahan bermula.

Varian itu kemudian merebak ke seluruh kelas di sekolah berkenaan, menjangkiti lebih 36 kanak-kanak termasuk lapan kanak-kanak prasekolah.

Walaupun Beijing melaksanakan kempen vaksin terhadap golongan muda berusia 12 hingga 17 tahun pada Julai, namun kebanyakan kanak-kanak masih belum menerima vaksin sehingga menimbulkan kebimbangan wabak yang melanda Fujian boleh menjangkiti golongan rentan di seluruh negara.

Pihak berkuasa kini berusaha mengekang penularan wabak dengan melaksanakan perintah berkurung bersasar, sekatan perjalanan, ujian pengesanan besar-besaran dan penutupan sekolah sebelum menjelangnya cuti umum pada 1 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:12 PM